»

Ringkasan Pejabat Daerah





Daerah Kuching secara administratif dibahagikan kepada 3 kawasan iaitu Kuching Proper, Siburan dan Padawan. Keluasan Daerah Kuching adalah 1,868.83 km persegi. Dahulu Sungai Sarawak dan Kuching dikenali sebagai Sarawak. Pada tahun 1839 James Brooke memanggil bandar tersebut Kuchin? (Cochin) atau pelabuhan seperti di India atau Indo China. Pada tahun 1870-an terdapat sebuah sungai bernama Sungai Kuching yang mengalir melalui sebuah bukit yang ditumbuhi oleh pokok buah-buahan mata kucing (Nephelium Malaiense). Dalam tahun 1876 bandar tersebut dirasmikan dan dikenali sebagai bandar Kuching. Kuching diisytiharkan secara rasmi sebagai Bandaraya tanggal 1 Ogos 1988. Struktur pentadbirannya ditadbir oleh 3 pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Bandaraya Kuching Selatan dan Majlis Perbandaran Padawan.

Selain daripada kawasan bandar, Kuching juga mempunyai kawasan pinggir bandar (city fringes) dan kawasan tepi pantai. Dari segi keluasan kawasan, DBKU mentadbir Petra Jaya sehingga meliputi Semenanjung Santubong dan Bako. MBKS mentadbir kawasan bandar termasuk Pending, Sekama, Tabuan, Stampin dan Stutong. MPP pula mentadbir kawasan-kawasan luar bandar Kuching seperti Pasar Batu Tujuh, Kampung Haji Baki, Batu Kitang, Kampung Temenggong, Matang, Telaga Air, Kampung Beradek, Semilang, Tanjung Bako dan Kampung Beliong.

DAERAH-DAERAH KECIL


Daerah Kecil Siburan

Siburan merupakan daerah kecil dalam Daerah Kuching. Kawasan ini boleh dianggap sebagai kawasan ?Tengah? sebab ia terletak di antara Kuching dan daerah kecil Padawan. Perlu diingatkan bahawa Siburan dan Padawan dahulu hanyalah satu kawasan sahaja sebelum ia dipecahkan kepada dua kawasan pentadbiran. Kawasan ini mempunyai dua sistem jalan utama iaitu Lebuhraya Kuching-Serian dan Borneo Heights. Lebuhraya Kuching-Serian bermula dari Pasar Batu Tujuh hingga ke Siburan adalah kawasan tempatan Majlis Perbandaran Padawan. Penduduk daerah kecil Siburan terdiri daripada berbilang kaum iaitu Bidayuh (23,383), Cina (18,843), dan Melayu (3,714). Hanya terdapat 48 buah perkampungan di daerah kecil Siburan. Perkampungan Bidayuh sebanyak 39 buah, Cina dan Iban masing-masing 5 buah kampung.

Daerah Kecil Padawan

Padawan telah diisytiharkan sebagai daerah kecil pada 11 Ogos 1983 (Pemberitahuan Warta Bahagian II No. 24 Jilid 308 ) dan ibu pejabatnya di Teng Bukap. Keluasan daerah kecil ialah 526.19 km. persegi. Daerah Kecil Padawan mempunyai hanya satu sistem jalanraya iaitu Jalan Padawan yang bermula daripada Pasar Tapah sehingga Kampung Abang. Kawasan ini merupakan kawasan berbukit-bukau dan bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia. Pejabat Daerah Kecil Padawan mula beroperasi pada 1 Januari 1988. Kawasan Padawan teletak dalam kawasan Pilihanraya N.14-Bengoh dan N.15 - Tarat.

Pada tahun 1986 bilangan penduduk di Daerah Kecil Padawan menjangkau 12,000 orang dan etnik majoriti terdiri daripada orang Bidayuh (90%). Ketika itu terdapat 39 kampung yang berhampiran dengan Jalan Padawan dan dua sungai utama iaitu Sungai Semedang dan Sungai Serin. Dalam tahun 1995 terdapat 48 buah kampung. dan mengikut statistik Pejabat Daerah Padawan dalam tahun yang sama terdapat 18,920 orang kampung. Kebanyakan daripada mereka adalah petani iaitu menanam padi bukit/paya, buah-buahan, getah, lada, koko dan lain-lain.